BAYANGKAN bagaimana sekiranya anda berada di dalam sebuah dunia yang
terbalik. Lantai di atas kepala , bumbung pula di kaki. Tentu pening
dibuatnya.
Sesiapa yang melalui Batu 21 Jalan Berungis -Tamparuli di Sabah,
sudah pasti tidak terlepas pandang akan keunikan sebuah rumah dengan
reka bentuk tempatan masyarakat Kota Belud - iaitu rumah terbalik
pertama di Malaysia.
Rumah seluas 1,500 kaki persegi itu seperti kediaman biasa,
dilengkapi dua bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang makan, satu
beranda, ruang dapur dan tandas. Bezanya semua itu dibina terbalik iaitu
dengan keadaan bumbung di bawah dan lantai di atas.
Pengalaman memasuki rumah berkenaan yang turut senget sebanyak tiga
darjah pastinya amat berbeza kerana ia akan mencabar logik minda setiap
pengunjung.
Pening! Itu pastinya jawapan mudah pengunjung selepas memasuki Rumah
Terbalik di laluan utama ke Kundasang dan Ranau itu yang dibuka setiap
hari kepada pengunjung dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Sebaik sahaja meletakkan kenderaan di kawasan rumah berkenaan,
pengunjung pastinya tertarik dengan sebuah garaj kereta yang menempatkan
sebuah kereta Kancil dalam keadaan terbalik.
Pengunjung akan bertambah pening sebaik sahaja melangkah masuk ke
ruang tamu rumah berkenaan kerana segala peralatan seperti kerusi sofa,
baju sidaian dan sebagainya berada dalam keadaan terbalik.
Peralatan lain termasuk almari, lubang tandas, dapur dan rak buku
melekat di siling manakala lampu dan kipas yang biasanya berada di
siling pula ada di kaki anda. Semuanya betul, bukan replika.
Pemilik rumah berkenaan, Alexander Yee, 43, sendiri mengakui kerja-kerja pembinaan rumah itu cukup mencabar.
Pening
"Ini kerana semuanya perlu dibina dan dipasang dalam keadaan
terbalik. Kerap kali pekerja terpaksa berhenti dan tidak dapat melakukan
kerja secara berterusan kerana pening," katanya.
Menurut anak jati Penampang ini, idea untuk membina rumah berkenaan
adalah hasil kajian dan penglibatannya dalam usaha pemuliharaan alam
sekitar.
"Ia sebenarnya memberi mesej kepada orang ramai supaya menjaga alam
sekitar kerana tanpa penjagaan berterusan, kehidupan kita akan tunggang
terbalik.
"Pemilihan rumah kampung ini adalah satu simbolik kerana ia warisan
berharga kita yang perlu dijaga agar berada dalam keadaan sempurna,"
katanya.
Tambahnya, pembinaan rumah berkenaan menjadi tarikan pelancong kerana
menampilkan kelainan di Sabah yang memang sudah terkenal dengan flora
dan faunanya.
Pembinaan rumah istimewa ini mengambil masa kira-kira lima bulan
manakala 11 bulan lagi untuk membina restoran, kedai cenderamata dan
pelbagai kemudahan lain yang keseluruhannya menelan kos kira-kira RM1.2
juta. Ia mula dibuka kepada umum pada 1 Januari lalu.
"Pada awalnya, saya membawa pelan ini kepada arkitek. Mereka ingatkan
paparan pelan saya terbalik dan mereka terkejut apabila saya nyatakan
ia memang sebuah rumah terbalik," katanya.
Sementara itu Pengurus Operasi Rumah Terbalik, Kenny Anthonio
berkata, pengunjung bukan sahaja dapat melihat keunikan rumah tersebut
bahkan didedahkan oleh petugas mengenai keunikan budaya masyarakat
Sabah.
"Semua pengunjung dikehendaki memukul gong sebelum memasuki rumah dan
memberi salam yang menjadi budaya masyarakat di negeri ini," katanya.
Pelik-pelik sapa-sapa yang pening bolehlah try... |
Sunday, 12 February 2012
Ilham kreatif rumah terbalik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment