MESKIPUN tanpa khidmat Anuar Manan, skuad elit lebuh raya negara tetap yakin untuk melakukan kejutan pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012, Sabtu ini. Jurulatihnya, Syed Muhammad Husaini Syed Mazlan menjelaskan, kehadiran Mohd. Hariff Salleh yang menggantikan tempat Anuar dalam acara itu diramal mampu memperkuatkan lagi cabaran negara dalam misi memenangi pingat pertama dalam ACC. Kali terakhir Malaysia mendapat pingat perak menerusi Nor Effendy Rosli pada edisi 1993 di Ipoh, Perak. Menurut Syed Muhammad Hussaini, tahap kemampuan Hariff adalah hampir setaraf dengan bekas rakan sepasukannya di Terengganu Pro Asia (TSG) itu. "Saya diberitahu oleh jurulatih TSG, Sebastien Duclos bahawa kondisi Hariff kini 90 peratus dalam keadaan terbaik," kata Syed Muhammad Hussaini semalam. "Bagi saya, tahap prestasi dan kemampuan Hariff adalah sama dengan Anuar selepas menjalani latihan intensif di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini. "Justeru, saya dapat rasakan bahawa dengan kehadiran Hariff, kita mampu mencipta kejutan atau sekurang-kurangnya memberi saingan kepada pasukan pilihan seperti Iran dan Kazakhstan," jelasnya lagi. Hariff, 24, yang menyumbang pingat gangsa dalam acara scratch pada saingan trek minggu lalu, bakal membuat penampilan pertama dalam acara lebuh raya menggantikan Anuar yang diketepikan ekoran masalah disiplin. Selain pemenang Jersi Hijau. Raja Pecut Jelajah Malaysia (JM) 2011 itu, tiga pelumba lagi yang akan bergandingan dengannya ialah abangnya, Zamri, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Akmal Amrun. "Saya akui saingan kali ini amat sukar dan kita tidak menetapkan sebarang sasaran. "Tetapi saya yakin kita mampu memberi saingan kepada pasukan pilihan lain dan jika menang pingat pun, saya anggap ia sebagai satu bonus buat kita," kata Syed Muhammad Hussaini lagi. Mengenai isu Anuar pula, jurulatih dari Terengganu itu menjelaskan, masalah komitmen yang ditunjukkan oleh pelumba pasukan Champion System itu terhadap sesi latihan skuad negara menjadi punca dia diketepikan. "Anuar masih lagi dalam skuad ini tetapi dia hanya sebagai pelumba simpanan bersama Nor Rizuan Zainal. "Dia masih seorang pelumba yang bagus dan terbaik pernah kita ada buat masa ini, namun masalahnya ialah dia gagal memberi komitmen penuh kepada skuad negara. "Jadi, bila tiada komitmen, masalah untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap akan timbul kerana kita tidak tahu di mana tahap prestasinya ketika ini," jelas Syed Muhammad Hussaini lagi. Acara lebuh raya 179.2 kilometer lelaki elit akan berlangsung di Putrajaya pada pukul 9 pagi, Sabtu ini. |
Thursday, 16 February 2012
Henjutan Hariff sehebat Anuar
Subscribe to:
Posts (Atom)