Wednesday 15 February 2012

20 bot nelayan asing tunggu masa ceroboh perairan negara

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan kira-kira 20 bot nelayan asing terutama dari Vietnam, dipercayai sedang menunggu masa untuk menceroboh perairan negara di kawasan pantai timur, untuk menangkap sotong.
Komander APMM Tok Bali, Zainin Abdul Majid berkata ini berikutan pada masa ini, perairan negara mengandungi banyak sotong, selepas musim laut bergelora semakin berkurangan.

"Bot-bot mereka sedang belegar-legar di perairan antarabangsa dan akan memasuki perairan negara ini pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita di Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata APMM akan terus memantau pergerakan bot nelayan asing itu dan akan bertindak menahan apabila mereka memasuki perairan negara ini, kerana pencerobohan tersebut boleh menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan.


Pencerobohan nelayan asing didorong oleh harga sotong di pasaran Vietnam yang lebih tinggi dan sotong di perairan mereka semakin pupus akibat kegiatan penangkapan yang tidak dikawal.

Dalam kes terbaru, sebuah bot nelayan Vietnam dengan enam awak-awak termasuk seorang tekong, ditahan apabila didapati menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara ini iaitu kira-kira 97 batu nautika Timur Laut Tok Bali, pada pukul 1.30 pagi, hari ini.

Tangkapan itu hasil operasi kapal ronda dengan 17 anggota diketuai Pegawai Pemerintah KM Ligitan Lt Kdr Maritim, Norhafizi Mohd Refek sebaik sahaja mendapat maklumat dari sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat rondaan di Laut Cina Selatan.

Mereka ditahan reman seminggu mulai hari ini, dan akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tahun lepas, Zainin berkata pihaknya berjaya menahan 249 nelayan asing iaitu 13 kes yang membabitkan nelayan Vietnam dan empat kes melibatkan nelayan Thailand.