Sunday 19 February 2012

Amuk: Rela, penduduk bantu selamat anak mangsa

 Kejadian amuk yang berlaku di Taman Saga, Alor Mengkudu di sini tengah malam semalam mungkin meragut lebih banyak nyawa jika situasi itu gagal dikawal oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kawasan itu dan penduduk setempat.
Tan Yok Hwa, 55, bapa saudara salah seorang mangsa, Chn'g Sheve Mei berkata, kecekapan anggota Rela dan penduduk tempatan itu berjaya menyelamatkan nyawa keluarga mereka.
"Kehadiran anggota Rela ketika kejadian banyak membantu. Jika tidak, mungkin lebih banyak nyawa melayang," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.17 tengah malam itu, seorang tukang tilik, Ung Siew Lin, 46, mati akibat ditetak dengan parang oleh bekas suaminya manakala dua anak perempuannya parah.
Sheve Mei, 26, yang merupakan anak angkat kepada Siew Lin cedera di kepala serta patah tangan kanan, manakala anak kandung mangsa, Wong Chiew Ying, 26, patah tangan kiri.
Dua adik perempuan Chiew Ying, Wong Chiew Shen, 22, dan Wong Shene Mei, 21, sempat menyelamatkan diri serta meminta pertolongan orang ramai.
Sementara itu, Ketua Platun Rela Unit Kawalan Kawasan (UKK), Liew Poon Soon memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kawasan itu pada pukul 12 tengah malam dan bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, ketika sampai di kawasan itu, lelaki terbabit dilihat sedang 'mengamuk' dan pihaknya segera menenangkan suspek namun tidak diendahkan.
"Suspek meminta kami jangan mencampuri urusan peribadi keluarganya. Bagaimanapun, tindakannya dilihat agak ganas menyebabkan kami terpaksa masuk campur," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu memberitahu, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, suspek yang cedera di kepala dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini dan siasatan ke atasnya sedang dijalankan termasuk kemungkinan dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie pula ketika dihubungi berkata, Sheve Mei yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu dan telah menjalani pembedahan akibat tengkorak kepalanya retak selain berlaku pendarahan otak.
"Pihak hospital memantau keadaannya. Chiew Ying yang patah tangan kini stabil dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Solat Jumaat di Kota London

“Mekah di tengah-tengah London”. Begitulah tajuk akhbar harian terkemuka British Daily Mail pada hujung minggu lalu.
Laporan tersebut menulis mengenai orang Islam British yang melaksanakan solat Jumaat di sebuah jalan di London. Mereka terpaksa solat di atas jalan kerana ruangan masjid sudah penuh sehingga tidak dapat menampung jemaah yang ramai.

Dalam artikel bertajuk “The Mecca of the city: In a London street, the faithful find a way to pray as their mosque overflows”, harian itu melaporkan ramai yang merasa terkejut ketika datang ke daerah itu pada Jumaat lalu. Mereka melihat ramai orang berdoa bersama di luar.

”Perkara itu bukanlah pemandangan biasa di England,” tulisan the Daily Mail.
Dalam bayangan gedung pencakar langit dan ruang kaca serta batu-batu di Mile Square, ratusan umat Muslim berlutut di jalanan melaksanakan solat Jumaat. Kegiatan selama satu jam di jantung daerah kewangan kota London itu ternyata menjadi sangat popular sehingga jemaah memenuhi jalan-jalan di sekitar masjid komuniti kecil.

Pekerja yang memakai uniform bercampur dengan umat Islam dari komuniti Bangladesh tempatan. Mereka terkeluar sehingga ke jalan-jalan di sekitar Bentley dan kawasan letak kereta.
Masjid Brune Street di Spitalfields, London Timur, merupakan masjid terdekat untuk solat Jumaat bagi pekerja. Ramai juga jemaah yang datang dari Brick Lane dan Whitechapel. Pekerja-pekerja profesional mengisi jalan di bawah bangunan perniagaan yang menjulang tinggi. Umat Muslim tanpa memakai kasut melakukan solat Jumaat dan bersujud menghadap ke kiblat.
Dalam ruangan masjid yang hanya dapat menampung 100 orang, sekitar 300 umat Muslim yang bekerja di kawasan berhampiran hadir bersama penduduk setempat yang juga ingin menjalankan solat Jumaat. Hasilnya, jemaah solat Jumaat melimpah sehingga ke jalan.
“Ia berkembang dalam beberapa tahun terakhir ini” ujar seorang pekerja yang masih mengenakan pakaian solat Jumaat. “Ramai orang yang merasa terkejut ketika datang ke daerah itu pada hari Jumaat. Kerana, mereka melihat ramai orang berdoa bersama di luar. Mereka melaksanakan solat tepat di tengah Kota London.”