Monday, 13 February 2012

Farhan AF4 bertunang

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Bintang kelahiran Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan , 28, hari ini melangsungkan pertunangan dengan Rashdan Shuhaimi, 28, di Kompleks Ampwalk, Jalan Ampang dekat sini.
Pada majlis tersebut, Farhan yang telah lima tahun menjalin hubungan cinta dengan Rashdan menerima sebentuk cincin emas putih yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya, Faridah Hussin.
Farhan berkata, dia dan keluarga merancang tarikh pertunangan tersebut hampir setahun memandangkan tunangnya sebelum ini melanjutkan pengajian di United Kingdom.
“Alhamdulillah segala perancangan majlis pertunangan ini berjalan lancar. Kami perlu mencari masa yang sesuai kerana Rashdan berada di UK melanjutkan pengajian,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis itu.
Farhan yang mengenakan persalinan kelabu berbunga ungu memberitahu, dia mengikat tali pertunangan selama setahun dan akan mengadakan majlis perkahwinan pada awal tahun depan.
Menurut penyanyi itu, biarpun mereka jarang bertemu kerana berjauhan namun kedua-duanya tetap saling berhubungan.
“Sebenarnya memang payah kalau berjauhan, namun saya tidak mahu menjadikan ia satu halangan. Syukurlah sekarang kerana dia (Rashdan) sudah bekerja di sini,” jelasnya lagi.
Pada majlis tersebut, Farhan turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas tujuh dulang kepada pihak lelaki.

No comments:

Post a Comment