Kejadian berlaku jam 6.45 pagi berhampiran Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini, ketika mangsa, Muhamad Nazren Jamalludin, 13, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Mangsa dipercayai cuba melintas, tetapi dirempuh sebuah Proton Persona dari arah sama menyebabkannya terjatuh dan parah di badan serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bapa mangsa, Jamalludin Ahmad, 37, berkata arwah keluar rumah jam 6.30 pagi ketika dia dan isteri, Sabina Ismail, 36, keluar bekerja di restoran makanan segera berasingan.
Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi seorang individu memaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu terbabit kemalangan dan disahkan meninggal dunia sebelum menghubungi isterinya.
Katanya, kebiasaannya arwah menunggang basikal bersama rakan-rakannya, tetapi semalam arwah terlewat bangun menyebabkan dia bersiap dalam kelam-kabut.
“Sebelum ini, setiap pagi, saya dan isteri bergilir-gilir menghantar arwah ke sekolah, tetapi sejak seminggu lalu, dia mahu pergi sendiri menunggang basikal bersama rakan-rakannya dan meminta saya membelikan basikal itu.
“Saya tunaikan hasratnya dan membelikan basikal, tetapi tak sangka dia meninggal dunia dalam kemalangan selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta.
Jamalludin berkata, arwah anak yang baik dan manja, malah tidak pernah ketinggalan mengunjungi pusara arwah neneknya, Roziah Ahmad yang meninggal dunia tahun lalu setiap Jumaat sejak setahun lalu kerana sebelum ini hubungan mereka rapat.
“Allah lebih sayangkan dia dan pinjamkan arwah untuk saya dan isteri dalam tempoh singkat, namun saya reda dengan takdir,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Siam, dekat sini, selepas solat Zuhur, semalam.
No comments:
Post a Comment