Selepas berlangsungnya sesi uji bakat Mentor 6, Ogy Ahmad Daud dan Faizal Tahir di mana hampir 1000 orang peserta hadir pada minggu lepas, kini tiba giliran penyanyi popular, Ramlah Ram pula memulakan misi pencarian protege beliau. Bertempat di Dewan Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama, seramai hampir 500 orang peserta hadir membanjiri uji bakat penyanyi lagu, ‘Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu’ ini, yang diadakan pada hari Sabtu bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Berkesempatan untuk menjenguk sesi uji bakat kali ini. Apa yang boleh dikatakan, ikon artis era 80-an ini dilihat begitu cerewet dalam memilih protegenya. Menjawab mengenai perkara tersebut, Ramlah ketika ditemui memberitahu, beliau bertindak sedemikian kerana kebanyakan peserta yang datang sememangnya berbakat besar. “Tidak dinafikan rata-rata peserta yang datang boleh menyanyi dan berbakat besar. Sebab itu saya perlu memilih mereka yang benar-benar mempunyai kebolehan melontarkan suara dengan baik di samping mempunyai identiti tersendiri.” Menurut Ramlah lagi, selain kriteria vokal yang bagus dan tidak menjadi klon kepada mana-mana penyanyi yang sedia ada, kesungguhan serta minat peserta yang tinggi dalam bidang nyanyian juga amat dititikberatkannya. “Bagi saya, sesiapa yang dianugerahkan ‘range’ yang besar, merupakan satu bonus untuk penyanyi itu bertahan dalam industri ini. Peserta yang mempunyai kebolehan menyanyi genre lain juga menyumbang ke arah pembentukan faktor X seseorang penyanyi itu. Kalau dapat semua kriteria yang dipilih, rezeki saya lah kali ini.” Ketika ditemui, Ramlah turut berkata, pemilihan lagu yang sesuai semasa uji bakat juga penting kerana ia memberikan gambaran awal akan potensi serta keupayaan seseorang peserta itu. Ditemani oleh Bob Yusof bagi membantunya dalam membuat pemilihan, pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 ini mengakui akan membuat keputusan yang teliti dalam menentukan protege akhir beliau. Apabila ditanya adakah beliau berhadapan dengan kesukaran sewaktu mengendalikan sesi uji bakatnya, Ramlah memberitahu, “Saya tidak sampai hati untuk memberitahu keputusan kepada peserta yang tidak berjaya kerana kesemua mereka menunjukkan kesungguhan yang tinggi. “Apatah lagi ada yang datang dari jauh dan sanggup beratur panjang, jadi terasa berat untuk saya mengatakan tidak. Namun saya percaya, mereka yang tidak bernasib baik ini akan terus memperbaiki kelemahan diri seterusnya lebih bersedia pada masa akan datang.” Kebanyakan peserta yang hadir adalah peserta dari kampung, Ramlah iaitu Muar, Johor. |
Tuesday, 14 February 2012
Ramlah Ram Cerewet Pilih Protege
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment