Thursday 16 February 2012

Majlis Perbandaran Kota Bharu roboh bangsal tempat maksiat

KOTA BHARU 15 Feb. - Demi memuaskan nafsu, lokasinya sudah tidak penting apabila dua bangsal usang yang terletak betul-betul bersebelahan tanah perkuburan menjadi pilihan kepada sesetengah pihak untuk menjalankan aktiviti maksiat dan menagih dadah.
Itulah yang berlaku di Kampung Kubur Kuda di sini yang terletak di belakang pusat membeli belah KB Mall apabila dua bangsal buruk di situ yang langsung tidak berpenghuni waktu siang, rupa-rupanya bertukar menjadi sarang seks dan penagihan dadah waktu malam.
Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa.
Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKBBRI) telah menyerbu dua pondok tersebut dan terus merobohkannya hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, 20 anggota penguat kuasa yang diketuai oleh Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan dua anggota polis telah menjalankan operasi berkenaan kira-kira pukul 10 pagi, namun tiada tangkapan dibuat.
Menurutnya, kedua-dua bangsal tersebut dibina secara haram di atas tanah rizab Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan tanah milik persendirian.
"Dua tahun lalu kita pernah merobohkan bangsal seumpama ini, tetapi mereka mendirikannya semula tanpa kebenaran dan ia dipercayai menjadi tempat kegiatan jenayah dan maksiat.
"Operasi satu jam yang bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi itu menemui beberapa barangan seperti botol, kotak, dan tilam yang mungkin digunakan untuk kegiatan maksiat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di bangsal tersebut turut mendapati, beberapa tilam buruk dan sarung kondom yang sudah digunakan ditinggalkan di dalamnya.
Ramli berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan notis pada 5 Februari lalu kepada pihak berkenaan supaya merobohkan bangsal tersebut, namun arahan itu tidak dipatuhi.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya melalui Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah bertindak merobohkan bangsal berkenaan.
"Melalui akta tersebut, mana-mana individu yang mendirikan bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan boleh dirobohkan," ujarnya.
Sementara itu, Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan mengenai bangsal di kawasan tersebut yang pernah dijadikan tempat oleh seorang lelaki warga emas memuaskan nafsu dengan seorang wanita Indonesia yang menjadi hamba seksnya.

No comments:

Post a Comment